Jiwa Baru yang telah di lancarkan beberapa tahun lalu terus berusaha mengadakan kempen untuk
mendidik masyarakat untuk mengubah pandangan mereka terhadap kebergantungan opioid.
Kempen kemasyarakatan ini giat menggalakkan rawatan untuk
kebergantungan opioid di samping menyokong usaha pencegahan yang dijalankan
badan kerajaan dan bukan kerajaan.
Jiwa Baru yang diterajui Persatuan Perubatan Penagihan Dadah
Malaysia (Amam), Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) dan
Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) dengan sokongan Schering-Plough Sdn Bhd itu
disasarkan kepada masyarakat dengan fokus mendekati individu utama seperti ahli
keluarga, rakan dan rangkaian sosial, pesakit serta ahli profesional perubatan
yang berminat.
Tahun lalu, kempen Jiwa Baru berjaya menarik 3,161
pengunjung yang melayari laman webnya serta menerima 328 panggilan telefon
sekali gus membolehkan hampir 3,300 individu yang mendapatkan maklumat mengenai
cara merawat masalah penagihan dadah selain dirujuk kepada doktor terlatih
dalam bidang berkaitan.
Ia melaksanakan pelbagai aktiviti untuk meningkatkan
kesedaran masyarakat termasuk pertandingan filem pendek yang menggalakkan
penggiat filem dan pelajar menyelami masalah penagihan dadah.
Harus difahami ketagihan kepada opioid adalah sejenis
masalah perubatan kronik berulang yang memerlukan rawatan jangka panjang dan
sokongan kepada pesakit.
Matlamat utama rawatan bagi ketagihan berkenaan adalah
membolehkan pesakit menguruskan gejala penyakit dan mengawal ketagihan mereka.
Dalam hal ini, ubat memainkan peranan penting untuk menguruskan kesan jangka
pendek dan jangka panjang ketagihan.
Untuk jangka pendek, ubat boleh memberikan kelegaan
peringkat awal terhadap masalah keinginan mengambil opioid dan mengurangkan
gejala tarikan apabila heroin dan opioid dihentikan.
Ubat juga memainkan peranan penting untuk jangka panjang.
Namun, ia langkah seterusnya adalah mengelakkan diri daripada terjebak sekali
lagi dalam masalah ketagihan ini.
Mengurangkan risiko penagihan semula adalah sesuatu yang
harus dipelajari oleh penagih opioid. Justeru, salah satu fungsi penting
kaunseling dalam rawatan adalah membantu pesakit mengelakkan keadaan yang
mencetuskan keinginan sekali gus meningkatkan risiko mereka menagih dadah
semula.
Sejak pertengahan 1970-an, penyelidikan saintifik mendapati
rawatan boleh membantu orang ramai mengubah tabiat dan menahan diri daripada
penyalahgunaan serta penagihan dadah sepanjang hayat.
Berasaskan penyelidikan berkenaan, beberapa prinsip penting
dikenal pasti iaitu:
- Rawatan mesti disediakan dan mudah didapati.
- Campur tangan, penetapan dan khidmat rawatan perlu disesuaikan kepada keperluan khusus pesakit.
- Rawatan harus menangani faktor yang menjadi punca penggunaan dadah seperti masalah perubatan, sosial, psikologi dan undang-undang.
- Terapi kaunseling atau tingkah laku sebagai komponen penting dalam proses rawatan.
- Penyahtoksinan perubatan mesti diikuti rawatan penyenggaraan dan penstabilan untuk mengubah tabiat penggunaan dadah jangka panjang.
- Program rawatan harus meliputi terapi bagi jangkitan seiring seperti HIV dan hepatitis C.
Mereka yang ingin mengetahui pilihan rawatan kebergantungan
terhadap dadah, boleh menghubungi talian 1300-80-7777, e-mel help@jiwabaru.com
atau layari www.jiwabaru.com.my
No comments:
Post a Comment