Sunday 22 September 2013

Jiwa Baru


Jiwa Baru yang telah di lancarkan beberapa tahun lalu terus berusaha mengadakan kempen untuk mendidik masyarakat untuk mengubah pandangan mereka terhadap kebergantungan opioid.

Kempen kemasyarakatan ini giat menggalakkan rawatan untuk kebergantungan opioid di samping menyokong usaha pencegahan yang dijalankan badan kerajaan dan bukan kerajaan.

Jiwa Baru yang diterajui Persatuan Perubatan Penagihan Dadah Malaysia (Amam), Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) dan Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) dengan sokongan Schering-Plough Sdn Bhd itu disasarkan kepada masyarakat dengan fokus mendekati individu utama seperti ahli keluarga, rakan dan rangkaian sosial, pesakit serta ahli profesional perubatan yang berminat.

Tahun lalu, kempen Jiwa Baru berjaya menarik 3,161 pengunjung yang melayari laman webnya serta menerima 328 panggilan telefon sekali gus membolehkan hampir 3,300 individu yang mendapatkan maklumat mengenai cara merawat masalah penagihan dadah selain dirujuk kepada doktor terlatih dalam bidang berkaitan.

Ia melaksanakan pelbagai aktiviti untuk meningkatkan kesedaran masyarakat termasuk pertandingan filem pendek yang menggalakkan penggiat filem dan pelajar menyelami masalah penagihan dadah.

Harus difahami ketagihan kepada opioid adalah sejenis masalah perubatan kronik berulang yang memerlukan rawatan jangka panjang dan sokongan kepada pesakit.

Matlamat utama rawatan bagi ketagihan berkenaan adalah membolehkan pesakit menguruskan gejala penyakit dan mengawal ketagihan mereka. Dalam hal ini, ubat memainkan peranan penting untuk menguruskan kesan jangka pendek dan jangka panjang ketagihan.

Untuk jangka pendek, ubat boleh memberikan kelegaan peringkat awal terhadap masalah keinginan mengambil opioid dan mengurangkan gejala tarikan apabila heroin dan opioid dihentikan.

Ubat juga memainkan peranan penting untuk jangka panjang. Namun, ia langkah seterusnya adalah mengelakkan diri daripada terjebak sekali lagi dalam masalah ketagihan ini.

Mengurangkan risiko penagihan semula adalah sesuatu yang harus dipelajari oleh penagih opioid. Justeru, salah satu fungsi penting kaunseling dalam rawatan adalah membantu pesakit mengelakkan keadaan yang mencetuskan keinginan sekali gus meningkatkan risiko mereka menagih dadah semula.

Sejak pertengahan 1970-an, penyelidikan saintifik mendapati rawatan boleh membantu orang ramai mengubah tabiat dan menahan diri daripada penyalahgunaan serta penagihan dadah sepanjang hayat.

Berasaskan penyelidikan berkenaan, beberapa prinsip penting dikenal pasti iaitu:

  • Rawatan mesti disediakan dan mudah didapati.
  • Campur tangan, penetapan dan khidmat rawatan perlu disesuaikan kepada keperluan khusus pesakit.
  • Rawatan harus menangani faktor yang menjadi punca penggunaan dadah seperti masalah perubatan, sosial, psikologi dan undang-undang.
  • Terapi kaunseling atau tingkah laku sebagai komponen penting dalam proses rawatan.
  • Penyahtoksinan perubatan mesti diikuti rawatan penyenggaraan dan penstabilan untuk mengubah tabiat penggunaan dadah jangka panjang.
  • Program rawatan harus meliputi terapi bagi jangkitan seiring seperti HIV dan hepatitis C.



Mereka yang ingin mengetahui pilihan rawatan kebergantungan terhadap dadah, boleh menghubungi talian 1300-80-7777, e-mel help@jiwabaru.com atau layari www.jiwabaru.com.my

Wednesday 2 January 2013

Apakah opioid


Opioid adalah dadah narkotik yang kuat, biasanya disarankan untuk melegakan kesakitan, ia juga boleh menyebabkan ketagihan dan kebergantungan di kalangan sesetengah orang, walaupun apabila ia diambil mengikut preskripsi. Heroin adalah juga sejenis opioid dan ia lebih kerap dikaitkan dengan penggunaan dadah secara haram.

Ketagihan pada opioid
Sesiapa sahaja boleh menjadi seorang yang bergantung kepada opioid – baik ahli keluarga, kawan, saudara mara, jiran mahupun rakan sekerja anda. 
Menurut Pejabat Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Dadah dan Jenayah, dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia:


      Dianggarkan  bahawa antara 12.8 dan 21.8 juta orang di seluruh dunia bergantung kepada opioid, Kebanyakan daripada mereka bergantung kepada heroin



      Dianggarkan 78% daripada pengguna dadah suntikan tinggal di negara membangun atau negara peralihan di Eropah Timur, Asia dan Pasifik


      Lebih 76% daripada kes HIV di Malaysia berpunca daripada penggunaan dadah suntikan

Kebergantungan atau ketagihan kepada opioid adalah masalah perubatan yang kronik dan BUKAN keruntuhan moral. Rawatan boleh didapati.


Kebergantungan kepada opioid berbeza daripada penyalahgunaan opioid dan selalunya ia tidak mudah untuk dikesan, walaupun terdapat tanda yang boleh diperhatikan. Adakah anda, atau orang yang anda sayangi, melalui pengalaman di bawah ini sepanjang 12 bulan lepas?

Perlu mengambil lebih opioid  untuk mendapatkan kesan yang sama, atau kurang mendapat kesan daripada jumlah opioid yang sama.

Mengalami gejala ‘tarikan’ apabila tidak menggunakan opioid seperti merasa resah, loya, sengal otot atau berpeluh.

Sentiasa ingin menghentikan penggunaan, atau mencuba tetapi gagal untuk menghentikan penggunaan opioid.

Berulang kali menggunakan opioid walaupun mendapat kesan negatif.

Menghabiskan lebih banyak masa dengan orang yang diketahui menggunakan opioid atau orang yang disyaki menggunakan opioid.

Jika anda mendapati atau melalui mana-mana pengalaman ini, bermakna anda atau orang yang anda sayangi mungkin bergantung kepada opioid seperti heroin.

Berjumpalah dengan doctor untuk mendapatkan maklumat lanjut.